Berita UtamaPendapat

Budaya politik murni bukan idealisme tetapi tanggungjawab

Ahli politik beri walak kepada agama, bukan ejen campur tangan luar

DUNIA politik nampaknya semakin kejam hingga tidak memberikan ruang kepada rakyat selain dari memilih yang paling kurang mudarat antara dua kemudaratan.

Sedangkan dalam sejarah Islam awal, umat Islam sering mendapat peluang memilih yang terbaik antara yang baik-baik.

Keadaan yang berterusan begini sejak sekian lama akhirnya membudaya dan menjadi tabiat alam yang dikenali sebagai dunia politik.

Akhirnya apa yang tidak boleh diterima akal menjadi amalan normal, lalu neraca bertukar.

Lawan dalam politik tidak lagi diukur berdasarkan beza ideologi dan prinsip perjuangan. tetapi berdasarkan beza maslahat-maslahat duniawi antara pelbagai pihak.

Calon boleh menangkan parti terus diangkat walaupun akhlaknya keji kerana kononnya objektif parti boleh kawal calon, sedangkan terbukti calon keji akhlak berfikir dan bertindak ikut maslahat peribadi.

Seruan ke arah amalan berprinsip dianggap idealisme orang yang tidak faham politik dalam politik banyak perkiraan yang difahami hanya oleh orang politik kata mereka.

Bila orang awam tanya; kenapa teruk sangat begitu? Jawapan mereka: itulah politik

Bilakah kita akan kembali pada neraca dan budaya politik bersih dan murni?

Orang takut jadi pemimpin kerana faham tanggungjawab dan hisab bukan berebut dan berlumba demi mengejar habuan di balik jawatan.

Orang soleh yang mempunyai segala bentuk kekuatan menjadi pemimpin bukan lagi orang yang tak mampu mengawal segala bisikan nafsunya atau orang soleh yang tiada daya upaya kekuatan.

Ahli politik yang memberikan walak kepada agama dan watan  bukan yang menjadi ejen membawa idea dan campurtangan luar ke dalam negara.

Apa yang dianggap idealisme ini sebenarnya pernah dilaksanakan di dunia Islam untuk satu tempoh yang panjang. Menafikannya bermakna generasi hari ini meletakkan diri di tahap menyerah yang teruk.

Kunci kepada islah politik tidak sepenuhnya berada di tangan ahli politik hari ini.

Jangan letakkan harapan tinggi kepada mereka. Sebahagian kecil dari mereka boleh diharap, tetapi majoriti yang tak boleh diharap akan menenggelamkan usaha mereka.

Jangan pandang kecil usaha mendidik masyarakat dengan prinsip. Lakukan dalam setiap generasi tanpa jemu. Ianya bukan pendekatan populis, tetapi masyarakat memerlukannya.

Tunggulah hasilnya selepas puluhan tahun. Masyarakat yang berprinsip akan dipimpin oleh manusia yang berprinsip kerana pemimpin datangnya dari perut masyarakat. Itulah hukum alam.

Sementara menanti hari itu, bertabahlah dalam menolak kemudaratan besar walau terpaksa menanggung kemudharatan kecil.

Usaha sehabis kudrat mengecilkan mudarat kepada masyarakat dan melambatkan kemusnahannya.

Lakukan apa yang benar, bukan apa yang mudah.

Bina arus yang betul, bukan mengikut arus yang songsang kerana mahu selamat.

Kebatilan boleh menyamar diri … tetapi kebenaran tetap terbukti walau selepas tempoh yang panjang.

Dan yang lebih penting, Allah SWT menghisab amal manusia berdasarkan neracaNya sahaja.

Berhati-hatilah dalam melaksanakan neraca Allah kerana alam selepas hisab tiada lagi jalan kembali.

Timbalan Presiden ISMA
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni 

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button