Berita Utama

COVID-19: 30 kes positif, tiada kematian

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,317 kes

PUTRAJAYA, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Jumlah kes positif COVID-19 hari ini kembali mencatat dua angka dengan 30 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini ialah 7,762 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 30 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 27 kes penularan tempatan, 17 kes adalah kes bukan warganegara manakala kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara adalah 10 kes sahaja,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Tiada kes kematian dicatatkan hari ini dan jumlah kumulatif yang meninggal dunia kekal pada 115.

Susulan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,317 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata 95 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, sementara sembilan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam sidang media itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada semua terutama kepada rakyat di Sabah dan Sarawak, selain menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang terus komited memberikan perkhidmatan mereka semasa musim perayaan ini.

“KKM ingin mengingatkan masyarakat bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam prosedur operasi standard (SOP) Perayaan telah menyatakan bahawa jumlah ahli keluarga tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari di dalam rumah yang sama, namun tertakluk kepada keluasan ruang rumah dan amalan penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

“Selain itu, KKM juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri secara lazimnya disambut selama sebulan dan sering diadakan rumah terbuka dan perhimpunan secara beramai-ramai, masyarakat masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana ianya adalah dilarang sama sekali,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close