Berita Utama

Isu arak: Capai penyelesaian dengan hikmah bukan hukum

Patut belanja untuk kempen kesedaran dari kos rawatan

BANGI, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Lebih baik kerajaan membelanjakan sejumlah wang untuk kempen besar-besaran bagi memberi kesedaran dan mendidik rakyat mengenai keburukan arak dari sudut kesihatan serta keselamatan awam.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, langkah itu lebih menjimatkan berbanding kos merawat dan kemalangan harta benda serta nyawa.

Beliau berkata, kerajaan boleh menyenaraikan keburukan arak serta faedahnya, kemudian wacanakan di depan rakyat melalui pelbagai kementerian, sama ada kesihatan, pengangkutan, keluarga, institusi agama atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Kalau saya jadi menteri, saya akan cakap ‘sudah tiba masanya tabiat yang memudaratkan kesihatan dan keselamatan awam seperti minum arak, merokok dikaji semula demi kesejahteraan masyarakat keseluruhan, kita jangan pentingkan diri sendiri’.

“Arak memudaratkan masyarakat. Faedahnya hanya berbentuk kepentingan diri. Tak payah sebut orang kafir ada hak minum arak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ustaz Mohd Hazizi berkata, antara umat Islam dan bukan muslim adalah hikmah dan ia boleh dicapai dengan akal yang sejahtera. 

“Antara kita dan mereka yang bukan muslim ialah hikmah bukan hukum. Hukum, kita saja yang terima mereka tak terima.

“Hikmah boleh dicapai dengan akal yang sejahtera. Kita yang dapat wahyu kena bimbing mereka ke arah perubahan. Tak perlu atas asas agama pun. Atas asas hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dalam merealisasikan perkara berkenaan, pemimpin perlu berjiwa besar dan berfikiran ke depan dalam melaksanakan sesuatu yang belum pernah dibuat.

“Jiwa kena besar, akal kena ke depan buat benda yang orang lain belum pernah buat, pandu ke depan bagi rakyat nampak ufuk baharu.

“Apologetik tanda tak nampak jalan ke depan, tak tahu macam mana nak bawa perubahan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close