Berita Utama

Kemelut politik: Bubar Parlimen kembalikan mandat rakyat

Adakan pilihan raya umum untuk wujudkan kerajaan lebih stabil

BANGI, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang sekiranya tiga Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melompat ke kem Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil berkata, hal berkenaan disebabkan PN telah kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Malah, katanya, Pakatan Harapan (PH) turut mengalami nasib sama apabila tidak mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan stabil.

“Dan kejatuhan kerajaan akibat Ahli Parlimen melompat parti ini akan menjadi kali kedua dalam tiga bulan.

“Dan pertukaran kerajaan dalam tempoh singkat ini dijangka akan berlaku lagi dan tidak akan berhenti sehingga Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri bersama empat lagi Ahli Parlimen dari Bersatu dipecat berkuat kuasa serta merta, semalam.

Selain Dr Mahathir, empat lagi yang dipecat adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Difahamkan, mereka dipecat atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Bersatu mula berpecah kepada dua kem selepas Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa parti berkenaan keluar PH sebelum membentuk kerajaan PN bersama UMNO dan PAS serta sebahagian Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Manakala, Dr Mahathir bersama penyokong setianya terus bertegas untuk bersama dalam gabungan PH.

Mengulas lanjut, Isham berkata, PN dan PH boleh membentuk kerajaan dengan hanya satu atau dua majoriti tipis menerusi Ahli Parlimen yang melompat parti.

Namun katanya, pergolakan antara Ahli Parlimen tetap akan berlaku selepas semua jawatan Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diisi dan dilantik.

Ini kerana, katanya, jawatan-jawatan berkenaan adalah terhad dan tidak mencukupi untuk diisi oleh semua orang.

Maka, pasti akan ada Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan pembahagian jawatan berkenaan, dakwanya.

“Sesiapa yang dilantik menjadi timbalan menteri akan dijanji jawatan menteri jika melompat parti ke parti lawan.

“Begitu juga pengerusi-pengerusi GLC yang dilantik akan ditawar menjadi menteri atau timbalan menteri oleh pihak lawan jika melompat parti.

“Yang diperlukan hanyalah seorang dua sahaja Ahli Parlimen melompat untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Isham mendakwa bahawa kerajaan akan menjadi tidak stabil dengan pertukaran Perdana Menteri dan anggota Kabinet yang berlaku setiap beberapa bulan, tambahan pula ia disertai dengan pergolakan politik di antara pertukaran kerajaan berkenaan.

Akibat daripada perkara itu, Isham berkata, keadaan ekonomi dan sosial akan menjadi lebih teruk dan terjejas.

Ia berikutan ahli-ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan khususnya menteri-menteri sibuk berpolitik untuk mengekalkan kuasa, selain tiada masa untuk mentadbir dan menggubal dasar untuk rakyat dan negara.

“Sebab itu, untuk meleraikan kemelut politik yang berpanjangan dan menstabilkan semula kerajaan dan politik negara, maka pilihan raya umum yang baru perlu dibuat untuk mendapatkan mandat rakyat bagi memilih Ahli-Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan yang baru dan lebih stabil.

“Oleh itu, sekiranya kerajaan hilang majoriti di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin tidak ada pilihan lain selain membubarkan Parlimen,” jelasnya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close