Berita UtamaIstimewa

Kenapa MCCBCHST berdiam isu pemandu mabuk?

Tak terkejut puak liberal bangkit isu lain lindung pemabuk

BANGI, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan mengapa Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang hanya berdiam diri apabila timbul isu lelaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan orang lain.

Hairan dengan perkara itu, Firdaus berkata, sebelum ini MCCBCHST paling lantang masuk campur dan mengkritik isu berkaitan Islam.

“Adakah MCCBCHST takut kehilangan penyokong mereka yang mungkin juga suka minum arak walaupun agama mereka ada yang tak membenarkan?

“Barangkali mereka tiada konsep amar makruf nahi mungkar seperti dalam Islam. Oleh itu sangat penting muslim melaksanakan amar makruf nahi mungkar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan penjaja di Pasar Malam Pekan Bukit Sentosa pada 22 Mei lalu.

Kang Ming Han, 32, yang didakwa mengikut Seksyen 307 kanun keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan kepadanya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh apabila mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis di Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan didakwa di bawah Seksyen 90 Akta Polis.

Kesal dengan perkara itu, Firdaus berkata, pihaknya tidak terkejut sekiranya terdapat puak liberal yang akan membangkitkan isu lain apabila timbulnya isu berkaitan pemandu mabuk.

“Sebagaimana kebenaran akan ada penyokongnya, begitu juga kebatilan dan kemungkaran.

“Entah apa kaitan tutup sekolah tahfiz dengan isu pemandu mabuk,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button