Kerajaan hantar pulang pendatang tanpa izin mulai 6 Jun: Ismail Sabri
Kumpulan pertama babitkan 450 individu diterbangkan ke Jakarta

PUTRAJAYA, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Fasa pertama penghantaran pulang pendatang tanpa izin akan bermula pada 6 Jun dengan membabitkan warga Indonesia yang berada di depot imigresen di negara ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kumpulan pertama membabitkan 450 individu, akan dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 6 Jun diikuti 445 orang lagi pada 10 Jun ke destinasi sama.
Beliau berkata, proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut dengan 1,294 pendatang tanpa izin dijadual berlepas ke Medan pada 22 Jun.
“Kesemua mereka yang akan dihantar pulang akan menjalani ujian COVID-19 dengan pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dijemput untuk turut berada semasa ujian dijalankan,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.
Katanya, fasa kedua pula akan melibatkan 2,623 pendatang tanpa izin yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan. -Bernama