Berita Utama

Nelayan hilang di Kuala Kedah

MRSC temui bot nelayan masih berpusing tanpa pengemudi

ALOR SETAR, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Seorang nelayan dipercayai hilang di laut selepas bot yang dinaikinya ditemukan tanpa pengemudi di muara Kuala Kedah, dekat sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, mangsa Nordin Saad, 52, dilaporkan keluar ke laut sendirian pada jam 7 pagi untuk menangkap ikan di kawasan perairan terbabit.

“Sebaik menerima laporan daripada Jabatan Laut Kuala Kedah pada pukul 5 petang semalam, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Langkawi (MRSC) segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Maritim Malaysia telah menggerakkan sebuah bot ke kawasan yang dilaporkan dan bot mangsa ditemukan dalam keadaan masih berpusing tanpa pengemudi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, bot berkenaan kemudian dibawa ke jeti berhampiran dan diserahkan kepada waris mangsa.

“Operasi SAR disambung semula pada pagi ini melibatkan anggota dan aset Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan beberapa bot nelayan tempatan,” katanya.

Mahmad Faizal turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan kecemasan di laut untuk menghubungi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button