Berita Utama

PEMBELA mahu kerajaan selesaikan isu lambakan kelab malam

Sarang kepada aktiviti jenayah, tidak bermoral boleh merosakkan masyarakat

BANGI, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan keputusan tidak membenarkan kelab malam beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah langkah tepat daripada pihak kerajaan.

Bagaimanapun, NGO Islam itu turut meminta kerajaan untuk memikirkan strategi bagi menutup kelab-kelab malam yang wujud terlalu banyak, terutamanya di ibu negara.

PEMBELA menegaskan, kelab malam adalah sarang kepada aktiviti jenayah dan tidak bermoral termasuk dadah, arak serta maksiat yang merosakkan masyarakat di negara ini.

“Yang sedihnya ialah rata-rata yang bekerja di kelab-kelab malam ini adalah anak-anak Melayu kita yang beragama Islam. 

“Malah, yang ke kelab-kelab malam juga ramai antaranya adalah anak-anak muda Melayu kita,” katanya.

Justeru, PEMBELA menggesa kerajaan supaya peka dan memandang jauh isu berkenaan melangkaui kerangka PKP atau PKPB. 

“Ingat, ini adalah isu yang melangkaui agama juga sebenarnya. Ini adalah isu masa depan anak bangsa dan negara Malaysia yang tercinta,” katanya. 

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tiada sebarang kebenaran kepada mana-mana kelab malam untuk beroperasi buat masa ini.

Beliau berkata, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga digesa memantau serta menutup mana-mana kelab malam yang didapati beroperasi dalam tempoh pelaksanaan PKPB.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close