Berita Utama

Peranan politik Tun M sudah berakhir

Integriti perjuangannya sudah tiada lagi, hanya tinggal dendam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Peranan politik Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berakhir kerana beliau bukan lagi individu yang mempunyai kedudukan di dalam Pakatan Harapan (PH), kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Beliau berkata, selain bilangan kerusi yang dimiliki pasukannya semakin berkurang, Dr Mahathir juga kini dipecat dari parti yang diasaskannya sendiri – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Justeru, Ustaz Abdullah mempersoalkan apakah permintaan yang bekas Perdana Menteri itu boleh tuntut daripada rakan komponen dalam PH iaitu PKR dan parti rasis, DAP.

“Hakikatnya peranan politik beliau sudah berakhir. Integriti perjuangannya sudah tiada lagi. 

“Hanya dendam dan kepentingan diri. Sebelum ini ramai yang percaya Dr Mahathir akan bela Melayu dan Islam dalam PH, tetapi sekarang segalanya ternyata salah.

“Semua hairan bagaimana beliau sanggup jadi alat dipergunakan PKR dan DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri bersama empat lagi Ahli Parlimen dari Bersatu dipecat berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Selain Dr Mahathir, empat lagi yang dipecat adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Difahamkan, mereka dipecat atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Bersatu mula berpecah kepada dua kem selepas Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa parti berkenaan keluar PH sebelum membentuk kerajaan PN bersama UMNO dan PAS serta sebahagian Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Manakala, Dr Mahathir bersama penyokong setianya terus bertegas untuk bersama dalam gabungan PH.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close