Berita UtamaDunia

Israel makin agresif roboh 4 rumah warga Palestin

Beberapa keluarga kini hilang tempat tinggal

TEBING BARAT, 19 Jamadilawal 1444H, Rabu – Pihak berkuasa pendudukan Israel merobohkan beberapa rumah Palestin pagi ini di perkampungan Al-Jiftlik berhampiran bandar Jericho, Tebing Barat yang diduduki, lapor agensi berita Wafa.

Menurut ketua majlis kampung, Ahmad Abu Ghanem, tentera menyerbu masuk ke dalam kampung dan terus merobohkan empat rumah dengan jentolak.  

Insiden itu menyebabkan beberapa keluarga kehilangan tempat tinggal.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Israel telah merobohkan ratusan rumah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki atas alasan mereka tidak mempunyai permit bangunan.  

Walhal, rakyat Palestin jarang diberikan permit oleh negara penjajah itu, kerana dengan mudah untuk rejim bertindak sesuka hati. 

Jumlah keluarga yang semakin meningkat menyebabkan rakyat Palestin perlu menambah ruangan rumah mereka atau membina rumah baru tanpa permit.  

Ini menjadikan mereka berdepan risiko perobohan oleh rejim Israel. 

Apabila notis perobohan disampaikan kepada pemilik rumah, mereka diberi pilihan untuk merobohkan rumah mereka sendiri atau membayar tentera pendudukan untuk melakukannya.

Sebaliknya, penduduk Yahudi tidak dikenakan sebarang tindakan, walhal penempatan Israel dibina melanggar undang-undang antarabangsa, yang diklasifikasikan sebagai jenayah perang, begitu juga dengan pergerakan rakyat ke wilayah yang diduduki. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button