Berita Utama

Rakyat tidak dibenar ke luar negara

Terutamanya ke negara berisiko tinggi penularan COVID-19

PUTRAJAYA, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Rakyat Malaysia masih tidak dibenarkan ke luar negara buat masa ini terutamanya ke negara berisiko tinggi penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu turut terpakai kepada pelajar di negara ini yang mahu menyambung pengajian di Indonesia kerana negara berkenaan merupakan antara negara berisiko tinggi jangkitan COVID-19.

“Rakyat kita termasuk pelajar yang mahu ke luar negara ketika ini tidak dibenarkan, sesetengah negara juga tidak menerima kemasukan rakyat dari negara lain ke negara mereka.

“Indonesia dianggap sebagai antara negara mempunyai risiko tinggi (COVID-19) selain Amerika Syarikat, Brazil dan sebagainya,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan pelajar perubatan Malaysia yang pulang ke tanah air dan perlu kembali ke Indonesia untuk menduduki Ujian Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter (UKMPPD) perlu mematuhi prosedur kesihatan ketat yang ditetapkan termasuk memiliki sijil kesihatan.

UKMPPD, syarat wajib bagi pelajar perubatan tahun akhir yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, sebelum ini dijadual pada Mei lepas namun ditunda kepada Ogos susulan penularan COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan arahan mengosongkan asrama di beberapa universiti telah dibatalkan.

Beliau diminta mengulas arahan beberapa universiti tempatan sebelum ini agar pelajar mengosongkan asrama, namun pelajar terlibat berdepan masalah untuk merentas negeri bagi mengambil barangan masing-masing yang masih ada di asrama.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sehingga hari ini, KPT sudah menghantar pulang 55,848 pelajar yang terkandas di kampus ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Hari ini, seramai 574 pelajar dihantar ke kampung halaman masing-masing melalui penerbangan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button