Berita Utama

Wisma Putra sahkan kakitangannya positif COVID-19

Kontak rapat diarah jalani saringan, kuarantin di rumah 14 hari

BANGI, 7 Syawal 1441H, Sabtu – Kementerian Luar Negeri mengesahkan seorang kakitangannya positif COVID-19 menerusi satu saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) di Wisma Putra. 

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sebelum menjalani saringan, individu terbabit tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom COVID-19 seperti demam, selesema, batuk atau sakit tekak.

Beliau berkata, kes pertama di kementerian itu kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Wisma Putra telah mengenal pasti sejumlah kakitangan dari beberapa bahagian di Wisma Putra termasuk Pejabat Menteri yang mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19 ini.

“Kesemua kontak rapat ini telah diarah menjalani saringan kesihatan yang dikendalikan KKM pada hari ini, 30 Mei 2020. Selain itu, mereka juga akan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Hishammuddin berkata, kerja-kerja nyahkuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan dilakukan serta-merta.

Katanya, semua tindakan yang diambil Wisma Putra adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Penularan Pandemik COVID-19 seperti yang ditetapkan KKM. 

Beliau berkata, Wisma Putra juga telah dan akan terus memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi dan penjagaan kesihatan yang ketat dilaksanakan pada setiap masa.

“Sekali lagi saya mengingatkan semua kakitangan dan pelanggan-pelanggan kementerian agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM termasuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan memakai topeng muka, membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer, memastikan penjarakan sosial serta sentiasa memeriksa suhu badan.

“Wisma Putra komited untuk memastikan premis dan seluruh warganya bebas dari COVID-19. Untuk itu, Wisma Putra akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi menangani penularan COVID-19 termasuk di kementerian ini,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close