Berita Utama

1,800 individu masuk Kelantan negatif COVID-19

Semua kontak rapat wanita hamil rentas negeri negatif

BANGI, 8 Syawal 1441H, Ahad – Ujian saringan terhadap 1,800 individu yang memasuki Kelantan sepanjang tiga hari bermula 21 Mei lalu didapati negatif COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ujian sampel berkenaan diambil di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri termasuk Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli serta Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

“Semua ujian saringan yang diambil adalah negatif dan kita yakin wabak COVID-19 tidak menular ke Kelantan menyebabkan individu yang masuk ke negeri ini tidak perlu lagi menjalani saringan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dr Zaini memaklumkan, ujian saringan juga dilakukan terhadap lebih 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) di depoh tahanan Tanah Merah dan Penjara Pengkalan Chepa dengan keputusannya adalah negatif.

Namun katanya, pihaknya akan sentiasa mengambil sampel setiap kali kemasukan PATI ke depoh tahanan dan penjara.

Beliau turut memaklumkan semua kontak rapat wanita mengandung yang positif COVID-19, di Kuala Krai adalah negatif.

“Kita mengambil seramai 30 sampel yang dikenal pasti kontak rapat mangsa sama ada di Ampang, Selangor serta Kuala Krai. Semua mereka adalah negatif,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, seorang wanita hamil yang positif COVID-19 di Kelantan dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Wanita itu hanya disahkan positif COVID-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button