Berita Utama

4,903 liter arak dirampas

120,000 batang rokok seludup bernilai RM169,000 turut dirampas

JOHOR BAHRU, 8 Syawal 1441H, Ahad – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 4,903 liter arak bernilai RM1.127 juta dan 120,000 batang rokok seludup bernilai RM169,000 dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor penyimpanan, di Permas Jaya, di sini hari ini.

Komander PGA Briged Tengah SAC Muhammad Abdul Halim berkata dalam serbuan berkenaan pihaknya turut menahan empat lelaki berumur lingkungan 20 dan 30 tahun yang dipercayai penjaga stor dan menguruskan penghantaran barangan seludup terbabit.

“Serbuan dilakukan pada kira-kira 8.30 pagi tadi selepas PGA Briged Tengah bertindak atas maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu.

“Kesemua dua jenis arak itu berisi dalam botol kaca yang dimuatkan dalam 500 kotak manakala kesemua 120,000 batang rokok pula berisi dalam 12 kotak besar,” katanya kepada pemberita di rumah terbabit.

Muhammad berkata selain arak dan rokok, pihaknya turut merampas tiga kereta bernilai RM120,000; wang tunai RM20,800; 36 salinan kad pengenalan milik pelbagai individu; enam telefon bimbit serta satu peket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram.

Beliau berkata siasatan awal mempercayai sindiket itu beroperasi antara tiga dan empat bulan lepas dengan kesemua barangan seludup dari negara jiran tersebut diedar ke kedai makan, kedai persendirian serta kedai runcit di sekitar bandar raya ini dan kawasan zon selatan negeri ini.

Muhammad berkata siasatan turut mendapati rumah terbabit adalah rumah sewa manakala ketiga-tiga kereta itu diubah suai di tempat duduk penumpang belakang dan bahagian tempat simpanan barang bagi memudahkan barang seludup disorok.

Mereka turut dipercayai menggunakan salinan kad pengenalan itu untuk membeli minuman keras di kawasan bebas cukai di bandar raya ini, katanya.

“Dari segi penglibatan, kami percaya rangkaian yang beroperasi di bawah sindiket ini masih ada lagi dan kami sedang berusaha mengesan saki baki,” katanya dengan menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button