Berita Utama

Anggota polis nyaris dirempuh pemandu mabuk

Suspek turut bertindak agresif, maki hamun anggota ketika ditahan

BAYAN LEPAS, 8 Syawal 1441H, Ahad – Isu pemandu mabuk di negara ini semakin menjadi-jadi apabila pasukan barisan hadapan pula menjadi mangsa akibat kecuaian mereka.

Dalam kejadian jam 10.30 malam tadi, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, di sini.

Ketika ditahan pihak berkuasa, suspek berusia 64 tahun itu turut bertindak agresif.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan berkata, suspek cuba melanggar anggota yang bertugas di sekatan jalan raya.

“Namun anggota polis berkenaan sempat mengelak daripada dilanggar kenderaan pemandu itu. Lelaki yang memandu kenderaan jenis Ford Fiesta, dipercayai di bawah pengaruh alkohol,” katanya seperti dilapor NSTP.

Sejurus kejadian, anggota polis yang berada di sekatan jalan raya berkenaan bertindak menahan suspek, kata Anbalagan.

Katanya, suspek turut memaki hamun anggota bertugas selain bertindak agresif.

“Ujian saringan awal pernafasan menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) mendapati bacaan kandungan alkohol melebihi tahap yang dibenarkan iaitu 218 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

“Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis bagi menjalani ujian saringan kedua,” katanya lagi.

Pemandu berkenaan ditahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Sekyen 186 Kanun Keseksaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button