Berita Utama

Individu positif COVID-19 tak bergejala tiada potensi sebar jangkitan

Majikan perlu pastikan pekerja asing patuh arahan kerajaan

PUTRAJAYA, 8 Syawal 1441H, Ahad – Individu yang positif COVID-19 tetapi tidak mempunyai gejala, tidak mempunyai potensi untuk menjangkiti orang lain kerana mempunyai ‘muatan virus’ yang rendah berbanding mereka yang bergejala.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun kebolehjangkitan akan terjadi dua hari sebelum individu yang mempunyai virus itu mendapat gejala.

“Jadi kita kena bezakan yang tidak ada gejala ini tidak ada masalah kerana tidak ada kebolehjangkitan tetapi kalau mereka mendapat gejala dan tempoh dua hari sebelum mendapat gejala itu mereka boleh menjangkiti orang lain, itu yang kita dapati,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, minggu pertama bergejala adalah minggu yang aktif untuk virus itu menjangkiti orang lain tetapi jika individu itu diasingkan untuk tempoh lapan ke 10 hari atau 14 hari seperti yang dilaksanakan kerajaan sekarang ini kebolehjangkitan boleh dikurangkan atau hampir sifar.

“Bagi mereka yang tiada gejala mungkin dalam tempoh 14 hari mereka tidak boleh menjangkiti tapi yang boleh menjangkiti adalah dua hari sebelum tempoh bergejala. Jadi kalau kita boleh asingkan mereka kita boleh putuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, esok Kementerian Kesihatan (KKM) akan berkongsi permodelan mengenai jangkaan mengenai kes COVID-19 dalam tempoh sebulan lepas, hari ini dan akan datang.

“Jadi yang membabitkan warganegara, kita dapati telah patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dan bila kita patuh pada SOP bermakna R-nought (RO) atau RT adalah kurang daripada 0.3 peratus.

“Tetapi untuk bukan warganegara kalau kita tolak dengan kes depoh tahanan imigresen dan kes import, kita dapati kawalan kita masih dalam lebih kurang RO 0.3 peratus dan kita masih memantau setiap hari dari segi perkembangannya pada warganegara dan bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting adalah fokus KKM kepada bukan warganegara supaya mereka juga patuh pada SOP seperti mana sikap rakyat Malaysia yang patuh pada SOP.

Namun katanya, beberapa isu kekangan perlu diambil perhatian seperti penginapan dan persekitaran warga asing, malah majikan juga harus memainkan peranan untuk memastikan pekerja asing patuh dengan arahan kerajaan dan mengambil langkah pencegahan dan menjaga kebersihan.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close