Berita Utama

Isu perubahan sokongan jadi duri dalam daging kepada Muhyiddin

Mungkin sudah tiba masa Malaysia adakan pilihan raya semula

BANGI, 8 Syawal 1441H, Ahad – Pengorbanan semua pemimpin politik terutama Ahli Parlimen untuk menggunakan hak-hak mereka secara waras dan bertolak ansur buat sementara waktu amat diperlukan ketika pandemik COVID-19.

Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar), Abd Jalil Backer berkata, gelora politik yang berlaku beberapa hari lepas menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mempunyai pilihan yang sangat terhad untuk menstabilkan kerajaan.

“Malangnya kewarasan sebahagian Ahli Parlimen bukan pilihan. Justeru, pilihan Muhyiddin sangat terhad.

“Pertama, beliau boleh cuba menambah sokongan Ahli Parlimen kepada kerajaan sedia ada. Untuk menstabilkan kerajaan ini, Muhyiddin memerlukan sokongan antara 120 hingga 125 orang Ahli Parlimen sebelum sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Tanpa penambahan sokongan Ahli Parlimen, Muhyiddin berjalan atas titian yang sangat rapuh. Sebarang ‘ketidakhadiran’ atau ‘keingkaran’ beberapa orang Ahli Parlimen blok kerajaan boleh menyebabkan usul perbelanjaan tambahan kerajaan akan gagal,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, jika ini berlaku maka Perdana Menteri tiada pilihan kecuali memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti dan memohon pembubaran Parlimen.

“Pilihan kedua ialah membubarkan Parlimen pada penghujung tahun ini. Jika pun kerajaan melepasi cabaran Dewan Rakyat Julai nanti, isu perubahan sokongan ini akan sentiasa menjadi duri dalam daging kepada Muhyiddin.

“Sebahagian orang mungkin tidak bersetuju dengan pilihan raya baharu berikutan pandemik Covid-19. Namun kestabilan kerajaan juga penting bagi memulihkan ekonomi dalam jangka masa panjang.

“Korea Selatan telah menjalankan PRU mereka pada April lalu dengan jayanya tanpa sebarang kes jangkitan COVID-19. Mungkin sudah tiba masanya Malaysia memilih semula,” katanya.

Selepas sidang Parlimen sehari 18 Mei lalu, Pakatan Harapan (PH) mendakwa mereka kini mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu. Dakwaan itu walaupun belum dibuktikan secara tuntas, namun telah membuka polemik yang berterusan.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PH mempunyai sokongan majoriti, Bersatu mengambil keputusan ‘memecat’ keahlian lima Ahli Parlimennya.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah digugurkan daripada parti itu.

Sehari kemudian Dr Mahathir mencabar pemecatan itu dengan hadir ke ibu pejabat Bersatu. Pada masa sama, tersebar berita seorang menteri dan beberapa timbalan menteri akan meletak jawatan.

Abd Jalil berkata, walaupun berita itu kemudiannya menjadi khabar angin, namun wujud tanda-tanda jelas proses rundingan belakang tabir telah berlaku.

“Ada sesi memujuk dan menawarkan pilihan yang ‘lebih baik’ telah berlangsung. Selepas kegagalan sidang akhbar seorang ‘menteri’ itu diadakan, keadaan mungkin akan tenang seketika. Namun ancaman terhadap kestabilan kerajaan akan berterusan,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button