Berita UtamaDunia

Pakar ramal gelombang kedua COVID-19 mungkin tercetus di UK

Dakwa keputusan talik perintah berkurung bermotif politik

LONDON, 8 Syawal 1441H, Ahad – Penarikan semula pelaksanaan perintah berkurung di United Kingdom (UK) adalah terlalu awal, kata penasihat kanan kepada kerajaan Perdana Menteri, Boris Johnson.

Johnson mengeluarkan amaran itu semalam, iaitu dua hari sebelum negara berkenaan melonggarkan lagi sekatan dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Selain itu, gelombang kedua penularan wabak berkenaan berkemungkinan akan tercetus ketika negara itu menyaksikan orang ramai mula memenuhi kawasan pantai dan taman awam.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh anggota Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE) kepada menteri.

Seorang daripada anggota SAGE yang juga pakar epidemiologi, Prof John Edmunds berkata, tindakan kerajaan menarik balik perintah berkurung itu adalah keputusan bermotifkan politik.

Malah, seorang lagi anggotanya yang juga saintis terkemuka dan Pengarah Wellcome Trust, Sir Jeremy Farrar dalam laman Twitternya menegaskan bahawa langkah kerajaan itu tidak kena pada masanya.

“COVID-19 merebak terlalu pantas untuk perintah berkurung ditarik balik di England.

“Pelaksanaan ujian saringan, pengesanan dan pengasingan (TTI) harus diteruskan serta berkesan sepenuhnya, mampu menangani sebarang lonjakan kes dengan serta-merta, responsif dan memberi keputusan pantas, serta kadar jangkitan perlu lebih rendah,” tulisnya.

Mulai Isnin, kerajaan UK akan melonggarkan lagi peraturan perintah berkurung yang berkuat kuasa sejak Mac lalu.

Kelonggaran itu termasuk membuka semula sebahagian sekolah di England selain membenarkan hingga enam individu bukan serumah untuk mengadakan pertemuan di luar.

Mengulas mengenai perkara itu, menteri Oliver Dowden mengakui kebenaran amaran dikeluarkan SAGE, yang memberikan peringatan langkah berjaga-jaga.

Dowden berkata, kumpulan penasihat saintifik kerajaan yang dibarisi lebih 50 saintis itu mempunyai pandangan masing-masing.

“Kerajaan mengambil pandangan kolektif daripada keseluruhan nasihat SAGE,” katanya.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Perubatan, Jonathan Van-Tam yang turut bersama-sama Dowden ketika taklimat harian COVID-19 memaklumkan bahawa, SAGE mempunyai tahap keyakinan tinggi bahawa penjarakan sosial dan langkah lain berterusan yang digabungkan dengan pengesanan kontak secara berkesan, tidak akan mendorong kadar pemindahan R meningkat melebihi angka kritikal.

Secara ringkas, angka R adalah adalah pengiraan bilangan orang dijangkiti daripada individu pembawa virus itu secara purata.

Jika nilai R ialah satu, setiap pembawa virus memindahkannya kepada seorang yang lain.

Setakat ini, Britain adalah negara kedua paling terkesan dengan COVID-19 selepas Amerika Syarikat (AS), apabila merekodkan lebih 38,000 kematian dan 270,000 kes jangkitan.

Antara kelonggaran sekatan yang telah diberikan ialah penduduk di England dibenarkan keluar bersenam dan berjemur secara tanpa had di taman sejak 13 Mei lalu.

Secara keseluruhan setakat ini, lima penasihat kerajaan sudah menyuarakan kebimbangan berhubung penarikan balik perintah berkurung, selain ahli politik termasuk Datuk Bandar London dan Manchester. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button