Berita Utama

Pemandu mabuk: Tuntutan PEMBELA wajar diberi perhatian

Tindakan drastik tak diambil pihak kerajaan dahulu atau sekarang

BANGI, 8 Syawal 1441H, Ahad – Tuntutan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengenai gejala pemandu mabuk wajar diberi perhatian pihak jawatankuasa Kabinet dalam mencari formula menangani pemandu dalam pengaruh alkohol, yang tidak hanya tertumpu kepada hukuman berat.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kejadian pemandu mabuk menyebabkan kematian telah lama diperkatakan, namun tindakan drastik tidak diambil pihak kerajaan sama ada dahulu atau sekarang.

“Mungkin ada yang akan berhujah bahawa orang bukan Islam tidak boleh dilarang minum arak kerana kebebasan asasi atau hak beragama.

“Namun, perlu diingat yang sangat dipentingkan ialah tidak membawa mudarat kepada orang lain seperti kecederaan dan kematian,” katanya.

Menulis di Sinar Harian ini, Zainul Rijal yang juga Timbalan Pengerusi PEMBELA turut mengulangi desakan gabungan NGO itu iaitu:

1. Melipat gandakan usaha untuk memberi makluman dan pendidikan kepada umum bahaya meminum arak dan mabuk di khalayak awam;

2. Mengawal premis penjualan minuman memabukkan secara ketat dan lesen penjualan itu hanya diberikan dengan jumlah yang tertentu sahaja berdasarkan bilangan penduduk dewasa bukan Islam di sesuatu tempat;

3. Meminda undang-undang dan peraturan bagi:

a) Menyebabkan premis yang menyediakan minuman memabukkan seperti kelab malam, hotel, restoran dan lain-lain bertanggungjawab memastikan pelanggan mereka tidak keluar dari premis mereka dalam keadaan mabuk.

Jika pelanggan mabuk, mereka bertanggungjawab untuk menghantar atau menyediakan kenderaan pulang bagi memastikan tiada kemalangan berlaku. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perniagaan mereka ditutup;

b) Menggubal hukuman lebih berat termasuk hukuman restoratif bagi pemandu mabuk tanpa mengira sama ada mereka terlibat dalam kemalangan atau tidak;

c) Menggubal peraturan khusus bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kerosakan awam, kecederaan atau kematian dikenakan tindakan ganti rugi bagi membaiki kerosakan awam, membayar mangsa yang cedera dan keluarga mangsa yang maut, selain pampasan insurans yang diterima;

d) Membatalkan lesen memandu pemandu yang didapati mabuk ketika memandu sama ada terlibat dalam kemalangan atau tidak;

e) Mengehadkan meminum minuman keras di premis persendirian sahaja bagi bukan Islam dewasa dan dilarang secara keras kepada umat Islam;

f) Mengadakan program wajib bagi pemandu mabuk yang pernah terlibat dalam kemalangan dilarang meminum minuman keras dalam tempoh waktu yang panjang dan diuji secara berkala.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainul Rijal menegaskan bahawa kebimbangan rakyat bukanlah ‘rekayasa’ mereka tetapi mempunyai asas yang kuat kerana kejadian berulang kali itu.

“Hal ini bukan lagi perkara terasing kerana secara berterusan berlaku yang tidak sahaja menyebabkan kematian mangsa yang dilanggar tetapi juga mengakibatkan keluarga mangsa kehilangan orang tersayang dan pencari nafkah. Ia memberi impak kepada keluarga mangsa yang seperti sudah jatuh ditimpa tangga pula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button