Berita Utama

PEMBELA sokong kerajaan bertegas isu pemandu mabuk

Babitkan NGO untuk semak, imbang antara pembuat dan pelaksana dasar

BANGI, 8 Syawal 1441H, Ahad – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyokong usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan untuk bertindak tegas kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu mabuk.

Bagaimanapun Naib Pengerusinya, Ustaz Masridzi Sat berpandangan, peranan NGO mesti dibabitkan bersama bagi membuat ‘semak dan imbang’ di antara pembuat dasar serta pelaksana dasar.

Katanya, pengharaman dan penguatkuasaan undang-undang arak hendaklah bersifat menyeluruh (holistik) seperti jenayah dadah.

“Namun kami berpandangan untuk menyekat gejala ini, kemasukan import arak dari luar negara, pembuatan arak dalam negara, penjualan arak, pengedaran arak mesti dikuat kuasakan secara tegas.

“Ia termasuk kempen pencegahan dan penguatkuasaan pengharaman arak mesti dibuat bersama banyak lagi kementerian, agensi dan pihak yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ustaz Masridzi menegaskan bahawa tidak ada definisi orang bukan Islam boleh minum arak kerana terbukti majoriti pemandu mabuk yang melanggar, mencedera dan membunuh orang awam adalah bukan muslim.

“Itu belum dikira jenayah-jenayah lain yang berpunca dari gejala ini. Jadi, pengharaman lesen-lesen peniaga arak di hotel, premis kelab malam, pusat perjudian atau restoran hiburan, pasaraya dan kedai runcit mesti dibuat juga oleh Majlis Perbandaran atau Pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Diharap YB Menteri dapat perkemaskan lagi pindaan-pindaan akta ini. Terima kasih di atas keprihatinan mendengar suara dan rintihan rakyat marhaen,” katanya.

Isu pemandu mabuk di negara ini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian terbaharu, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, Bayan Lepas.

Sebelum ini, seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, lelaki berusia 42 tahun yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya yang parah kini dirawat di Zon Merah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sementara 22 Mei lalu, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Pada awal bulan lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button