Berita Utama

Kapitalis kuasai pemimpin politik punca kegiatan haram gagal dibanteras?

Sistem lobi, rasuah dan salah guna kuasa berleluasa termasuk di Malaysia

BANGI, 7 Zulhijjah 1443H, Khamis – Kuasa kapitalis ke atas pemimpin politik menjadi punca Malaysia – sebagai sebuah negara Islam – sehingga kini tidak mampu membanteras penjualan dan kegiatan seperti judi, arak, dadah, rokok, pelacuran, pornografi serta hedonisme.

Ini kerana, semua industri berkenaan dikuasai oleh kapitalis yang melobi pemimpin politik – majoriti beragama Islam – supaya memenuhi nafsu mereka tanpa mempedulikan kehendak majoriti rakyat.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim mendakwa, sistem lobi, rasuah dan salah guna kuasa berleluasa di seluruh dunia termasuk Malaysia dan perkara sama juga berlaku di Amerika Syarikat (AS) membabitkan industri penjualan senjata api.

“Walaupun begitu banyak nyawa telah terkorban dan majoriti rakyat USA memperjuangkan kawalan terhadap penjualan senjata api di negara itu, namun ia tidak mampu mengubah apa-apa.

“Amerika sebagai sebuah negara yang liberal dan terbuka tidak langsung mengetatkan kawalan penjualan senjata api kononnya atas nama kebebasan individu,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, pada masa sama, dakwanya lagi, hak serta kebebasan majoriti rakyat untuk hidup aman tanpa ancaman senjata api dinafikan.

“Paling ironik, Amerika yang menggelarkan diri mereka sebagai negara paling maju dan demokratik di dunia juga langsung tidak mengendahkan kehendak majoriti rakyat yang inginkan kawalan ketat terhadap penjualan senjata api.

“Sebaliknya, para ahli politik di sana memenuhi kehendak National Rifle Association (NRA) yang kuat melobi agar undang-undang terhadap penjualan senjata api dilonggarkan oleh kerajaan dengan membelanjakan puluhan juta USD setiap tahun bagi mencapai tujuan mereka,” dakwanya.

Atas sebab itu, katanya insiden tembakan rambang yang mengorbankan 19 murid dan dua guru di Texas baru-baru ini seakan menjadi ‘tradisi’ di AS.

Muhammad Lukman berkata, rekod menunjukkan sejak 1968 hingga 2017, sebanyak 1.5 juta nyawa rakyat AS terkorban disebabkan peristiwa tembakan rambang seperti itu, dan jumlah berkenaan bahkan lebih ramai daripada tentera AS yang terkorban dalam semua peperangan sejak American War 1775.

“Kerajaan USA sanggup kehilangan puluhan ribu nyawa kanak-kanak dan rakyat umum yang tidak berdosa setiap tahun semata-mata mahu memenuhi kehendak nafsu kapitalis NRA yang hanya mahu memastikan perniagaan senjata api mereka berkembang dan mendapat permintaan tinggi.

“Kenapa Malaysia sebagai sebuah negara Islam, majoriti pemimpinnya Islam dan majoriti rakyat Islam tapi tidak mampu membanteras arak, judi, dadah, rokok, pelacuran, pornografi dan hedonisme?

“Jawapannya sama. Kerana semua industri ini dikuasai oleh kapitali yang melobi para pemimpin kita,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button