Berita Utama

SPR teliti cadangan tidak had hari penamaan calon

Ambil masa nak realisasi kerana babit pindaan undang-undang

PUTRAJAYA, 8 Syawal 1441H, Ahad – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti cadangan supaya hari penamaan calon untuk mana-mana pilihan raya kelak tidak dihadkan hanya pada satu hari sahaja dan prosesnya dilaksanakan secara dalam talian.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, cadangan itu, bagaimanapun, akan mengambil masa untuk direalisasikan kerana ia melibatkan pindaan peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya sedia ada.

“Kita nak berbuat demikian tetapi masalahnya ialah kerangka undang-undang sekarang ini penamaan calon hanya satu hari dan satu jam sahaja, dari jam 9 pagi hingga 10 pagi, kemudian pengumuman dijangka pada pada 11 pagi.

“Jadi sekarang penamaan calon tidak boleh dibuat secara online (dalam talian) lagi kerana di bawah kerangka undang-undang sedia ada calon atau pencadang atau penyokong mesti membawa ‘hard copy’ borang pencalonan berkenaan.

“Oleh itu, kita sedang meneliti cadangan itu dan mengambil masa lama kerana kita kena pinda undang-undang dan peraturan ini,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya, baru-baru ini.

Cadangan memanjangkan hari dan tempoh masa menghantar borang pencalonan dan pencalonan dalam talian di masa depan diutarakan oleh pelbagai pihak, berikutan penularan COVID-19, sekali gus menyaksikan Malaysia kini bergerak ke arah normal baharu dalam menghadapi impak jangkitan virus itu.

Azhar Azizan berkata, dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini, SPR membenarkan calon mendapatkan borang pencalonan lebih awal bagi memudahkan proses dan urusan pada hari penamaan calon.

“Kita menggalakkan calon pergi ke pejabat pilihan raya negeri untuk mengisi borang itu dan membayar deposit lebih awal serta semak borang berkenaan supaya semuanya betul.

“Jadi pada hari penamaan calon ia hanya formaliti sahaja, calon hanya datang dan serahkan borang kepada pegawai pengurus pilihan raya untuk disemak. Selepas semuanya diterima, calon berkenaan layak untuk bertanding dalam pilihan raya yang diadakan itu,” katanya.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini di Pahang akan menjadi yang pertama diadakan ketika negara menghadapi pandemik COVID-19.

SPR menetapkan tarikh hari penamaan calon pada 20 Jun dan pengundian awal diadakan 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.

PRK Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button