Berita UtamaDunia

Sumber air kering, Jordan terpaksa beli air dari Israel

Raja Abdullah II tegaskan perdamaian berkekalan hanya dapat dicapai dengan pembentukan negara Palestin yang merdeka

AMMAN, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein pada hari Sabtu menerima panggilan telefon dari Presiden negara haram Israel yang baharu, Isaac Herzog bagi membincangkan usaha perdamaian Timur Tengah, kata agensi berita Petra yang dikendalikan oleh kerajaan.

Raja Abdullah II dalam perbualan tersebut menekankan pentingnya bekerja menuju perdamaian yang adil serta komprehensif antara Israel dan Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara, kata agensi itu.

 

Raja Abdullah II memberitahu Herzog bahawa jalan menuju perdamaian yang berkekalan di wilayah tersebut adalah dengan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Manakala, Herzog dalam ciapan di laman Twitter berkata, hubungan strategik antara dua negara amat penting.

“Saya memberitahu Yang Mulia bahawa saya berhasrat untuk mengeratkan hubungan,” kata Herzog.

Gesaan itu dibuat dua hari setelah Israel dan Jordan mencapai kesepakatan untuk negara haram itu menjual sejumlah air yang belum pernah terjadi sebelumnya kepada kerajaan itu, di samping meningkatkan eksport Jordan ke Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada Khamis, Israel akan membekalkan Jordan dengan 50 juta meter padu (65 juta ela kubik) air ke Jordan pada tahun 2021, kata Kementerian Luar Negeri Israel.  

Israel sudah menyediakan air ke Jordan setiap tahun berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1994.

Kedua-duanya juga bersetuju menaikkan eksport Jordan ke Tebing Barat dari AS$160 juta (RM670 juta) menjadi AS$700 juta(RM2.9 bilion)

Hubungan antara Jordan dan Israel, yang memiliki perjanjian damai 1994, sebelum ini bertambah tegang di bawah bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Awal tahun ini, Netanyahu dilarang menggunakan ruang udara Jordan, menggagalkan misi yang sepatutnya menjadi perjalanan pertamanya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Netanyahu diganti bulan lalu oleh Naftali Bennett, yang gabungannya telah menjalin hubungan hangat dengan Amman berdasarkan keutamaan dasar luar.

Jordan adalah salah satu negara yang kekurangan air paling banyak di dunia dan pakar mengatakan bahawa negara itu telah mengalami salah satu musim kering yang paling teruk dalam sejarahnya. 

Jordan, di mana kira-kira separuh daripada jumlah penduduknya yang berjumlah 10 juta adalah orang yang berasal dari Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button