Berita Utama

UniSZA laksana konvokesyen online guna teknologi robot, video

Pakar universiti berjaya hasilkan robot kedua iaitu Seebaa

KUALA NERUS, 8 Syawal 1441H, Ahad – Susulan kekangan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif melaksanakan majlis konvokesyen secara maya.

Menggunakan teknologi robot dan persidangan video, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahlan berkata, kumpulan penyelidik universiti itu yang mempunyai kepakaran telah berjaya menghasilkan robot kedua yang diberi nama ‘Seebaa’ sebagai pasangan kepada Naseem.

“Robot itu dibangunkan oleh penyelidik UniSZA dari Kumpulan Penyelidikan Mechanical, Electronic, Computing and Arts (MECCA) sempena program Karnival Jom Masuk IPT Zon 6 di Kuala Terengganu yang sepatutnya dijadualkan pada 14 hingga 15 Mac yang lalu.

“UniSZA bersedia memanfaatkan kedua-dua robot ini sebagai alternatif sekiranya majlis konvokesyen secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan susulan pandamik COVID-19 dan PKPB

“Pada majlis konvokesyen itu, Tuanku Canselor akan menganugerahkan skrol kepada robot yang mewakili graduan sambil disaksikan mereka secara langsung melalui persidangan video dari tempat masing-masing, sama ada di dalam negara atau di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pendekatan yang diambil adalah relevan dengan keadaan semasa dunia yang berusaha melawan penularan COVID-19 melalui kaedah penjarakan sosial serta pengurangan pergerakan yang tidak perlu.

“Melalui alternatif konvokesyen secara maya itu, majlis konvokesyen dapat dijalankan dengan selamat dan efektif,” katanya.

Beliau berkata, UniSZA sebelum ini pernah mencatat sejarah apabila menampilkan robot yang diberi nama ‘Naseem’ ketika menyampaikan skrol pada Majlis Konvokesyen ke-11 pada Oktober 2019.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close