Berita UtamaIstimewa

Amir ISMA gesa siasat pegangan agama, ideologi pemandu mabuk

Bimbang amal fahaman radikal guna alasan mabuk untuk membunuh

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 9 Syawal 1441H, Isnin – Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan sewajarnya berhubung insiden kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Selain itu, penyiasatan menyeluruh terhadap pelaku perlu dilakukan bukan sahaja dari aspek pengambilan alkohol tetapi juga pegangan agama serta ideologi mereka, gesa Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

“Dibimbangai kes-kes ini tidak berlaku secara kebetulan sebaliknya menjadikan mabuk sebagai alasan oleh mereka yang menganut fahaman radikal dan ekstrem untuk melakukan perbuatan membunuh,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia dikejutkan dengan siri kejadian pemandu mabuk yang mana mendatangkan kebimbangan serta kemarahan banyak pihak memandangkan sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri peminum arak mengancam nyawa orang ramai.

Dalam kejadian terbaharu, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di ibu negara, hari ini.

Mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang diniagakan oleh isterinya.

Terdahulu, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, Bayan Lepas.

Sehari sebelum itu, seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.

Sementara 22 Mei lalu, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Awal bulan lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebelum ini memaklumkan sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Beliau berkata, arahan itu sebagai maklum balas kepada keresahan rakyat mengenai kes kemalangan akibat pemandu mabuk yang mana statistik polis sepanjang lima bulan pertama tahun ini sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan yang mana lapan mangsa meninggal dunia.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close