Berita Utama

Arak, ibu segala kejahatan!: Netizen

Malaysia disaran laksana inisiatif Korea, upah pemandu pengganti

BANGI, 9 Syawal 1441H, Isnin – Kes pemandu mabuk hingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam yang tidak berdosa bagaikan sudah menjadi kes harian di Malaysia, ketika ini.

Malah, ramai juga yang bimbang akan nasib mereka sendiri ketika memandu di jalan raya kerana saban hari disajikan dengan laporan berita kematian jalan raya akibat tindakan tidak bertanggungjawab individu yang memandu dalam pengaruh alkohol. 

Seorang pengguna laman sosial Twitter @ahmadridwanrais berkata: “Sekali pun kita memandu kereta dengan penuh berhati-hati pun tak jamin keselamatan sendiri sekiranya pemandu mabuk ini ada atas jalan.

“Sudah tiba masanya hukuman mati membabitkan kes pemandu mabuk! Tutup kilang arak, ibu segala kejahatan!,” katanya.

Sementara itu, @miraallyssa pula berkata, Malaysia disyorkan untuk melaksanakan inisiatif seperti di Korea di mana terdapat perkhidmatan mengupah pemandu pengganti sekiranya pemandu kenderaan itu mabuk.

“Buat macam Korea la, kalau mabuk upah orang jadi pemandu atau minta ahli keluarga datang ambil. Itu pun tak boleh fikirkan. Mabuk sambil memandu memang patut dikenakan hukuman berat macam Korea,” katanya.

Beliau turut menggunakan tanda pagar #PemanduMabukMembunuh bagi meluahkan ketidakpuasan hati terhadap isu itu.

Manakala, seorang lagi pengguna Twitter, Firdaus Abdillah Hamzah berkata, sewajarnya tempat bermulanya seseorang individu itu mabuk juga perlu dikenakan tindakan kerana membiarkan orang mabuk itu memandu sendiri. 

“Katalah pemandu mabuk dari rumah kawan, tuan rumah kena ada tanggungjawab.

“Kalau mabuk dari pub atau kelab, pengusaha kena ada tanggungjawab untuk periksa tahap mabuk pelanggan sebelum dibenarkan pulang memandu. 

“Kalau lebih had, kunci kereta boleh ditahan. Orang mabuk boleh ada pilihan untuk balik jalan kaki, naik teksi atau minum lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button