Berita Utama

COVID-19: Tiada kematian 10 hari berturut-turut, 51 kes pulih

38 kes baharu dilaporkan, jadikan jumlah kumulatif adalah 7,857

PUTRAJAYA, 9 Syawal 1441H, Isnin – Tiada kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di Malaysia bagi tempoh 10 hari berturut-turut sejak 23 Mei lepas, dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.46 peratus).

Memaklumkan perkembangan terkini kes jangkitan COVID-19 di Malaysia yang semakin menunjukkan penurunan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya enam kes baharu melibatkan kes dalam kalangan warganegara Malaysia hari ini.

Katanya terdapat 38 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 7,857 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,338 kes, yang telah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sejumlah 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan hanya enam kes dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Sejumlah 51 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih dan discaj sebanyak 6,404 kes (81.5 peratus). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button