Berita Utama

Ganti undang-undang ‘lapuk’ pemandu mabuk demi rakyat

Arak 'ibu' segala jenayah, punca penyakit mental serta fizikal

BANGI, 9 Syawal 1441H, Isnin – Kerajaan perlu menggantikan undang-undang ‘lapuk’ bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terjamin.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid berkata, kerajaan yang kasih dan rahmah kepada rakyatnya mesti membuat keputusan tepat buat mereka.

“Selain itu, ‘arak sebenarnya adalah ibu bagi segala kejahatan’. Bermula dengan arak, ia melahirkan penjenayah pembunuhan, pemerkosaan, penzinaan selain menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit mental dan fizikal.

“Justeru, buatlah keputusan yang betul mengenai arak dan kesannya kepada rakyat serta negara,” katanya menerusi akaun Facebook hari ini.

Beliau turut mengulas mengenai insiden kemalangan hari ini yang mana seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk.

Menerusi klip video tular di media sosial, pemandu berkenaan hanya mengangkat ibu jari ketika didekati pemandu lain yang memaksa lelaki berkenaan menghentikan kenderaan.

Prof Zainur Rashid berkata, itulah kesan arak, boleh diibaratkan sebagai ‘orang gila’ yang seolah-olah bergembira atau tiada rasa apa-apa ketika membunuh manusia yang tidak berdosa.

“Jumlah kemalangan maut yang melibatkan pemandu yang mabuk sepanjang Januari hingga Mei 2020 ini sahaja, sama dengan jumlah kes sepanjang 2019. Jika di Taiwan, kemalangan yang sebegini sehingga melibatkan kematian bererti pemandu itu akan menerima hukuman mati.

“Kita akan lihat, apa yang bakal diputuskan oleh pihak berkuasa dalam tempoh sebulan dua ini. Kerajaan Malaysia perlu gantikan undang-undang lapuk ini,” tegasnya.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button