Hari ulang tahun TUDM ke-62 disambut dalam normal baharu
Sambutan dibuat secara kecilan gunakan media elektronik

PUTRAJAYA, 9 Syawal 1441H, Isnin – Hari ulang tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke-62 hari ini, disambut dalam normal baharu menggunakan platform media sosial, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, tiada lagi sambutan seperti kebiasaan dibuat, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung wabak COVID-19.
“Tiada lagi istiadat perbarisan, tiada lagi perhimpunan beramai-ramai, maka sambutan secara kecil-kecilan (bukan daripada segi perhimpunan) tetapi menggunakan media elektronik dan sebagainya.
“Tadi saya difahamkan oleh Panglima TUDM Jen Datuk Seri Ackbal Samad, di mana perutusan khas beliau mengenai Hari Ulang Tahun TUDM disampaikan melalui secara dalam talian atau maya,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB, di sini.
Oleh yang demikian, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, warga TUDM terpaksa mematuhi normal baharu ini, dalam menyambut hari ulang tahun pasukan itu. – Bernama