Berita UtamaDunia

Briged Al-Qassam berjaya bunuh 10 tentera rejim pengganas

3 kereta kebal, 2 kenderaan pengangkut anggota Israel ditembak

GAZA, 22 Jamadilawal 1445H, Rabu – Sayap ketenteraan Hamas, Briged Al Qassam mengesahkan pejuangnya telah membunuh 10 tentera Israel di selatan Semenanjung Gaza, ketika rejim pendudukan meneruskan serangan kejam ke atas wilayah yang dikepung.

Briged al-Qassam melaporkan pada hari Selasa bahawa tentera rejim pendudukan terbunuh di timur Khan Younis.

Briged tentera berkata, pejuangnya juga telah menyerang tiga kereta kebal Israel, dua kenderaan pengangkut anggota dan tiga jentolak tentera dengan peluru anti-perisai di timur dan utara Khan Younis.

Perkembangan terbaru berlaku dua hari selepas pejuang Briged al-Qassam membunuh berpuluh-puluh tentera Israel di kem mereka di penempatan di timur Juhr al-Dik.

Pertempuran berkecamuk di Khan Younis pada hari Selasa ketika tentera Israel meningkatkan serangan udara dan darat ke selatan Gaza.

Tentera Israel menyerang kawasan sekitar sebuah hospital dan bangunan kediaman di bandar itu, menyebabkan sekurang-kurangnya 45 rakyat Palestin maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Menurut sumber media, pesawat Israel mengebom Hospital Nasser di Khan Younis serta rumah penduduk Palestin di Deir al-Balah.

Jurucakap Hospital Shuhada Al-Aqsa mengumumkan bahawa 45 rakyat Palestin terbunuh selepas pesawat pejuang rejim Israel menyerang rumah orang awam di Deir al-Balah.

Beliau juga menyatakan bahawa berpuluh-puluh rakyat Palestin lain cedera akibat jenayah yang dilakukan oleh tentera Israel.

Komander Komando Selatan tentera Israel, Jeneral Yaron Finkelman, menyifatkan ia sebagai hari pertempuran paling sengit sejak permulaan operasi darat di Gaza, dengan mendakwa tentera Israel juga bertempur di Jabalia dan di Shuja’iyya serta Khan Younis. 

Penduduk Khan Younis juga berkata, tentera dan kereta kebal Israel telah menyeberang melalui pagar sempadan Israel yang mengepung Gaza dan menutup bandar itu dari timur.

Israel menyambung semula serangan udara dan darat ke atas Gaza pada hari Jumaat selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas.

Hampir 16,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh dalam pencerobohan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober apabila Hamas melancarkan serangan ke atas wilayah yang diduduki Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button