Berita Utama

Kerajaan ‘berkuasa’ gantung penjualan arak

Industri arak perlu dikawal, mereka jadi punca bahana sosial

BANGI, 9 Syawal 1441H, Isnin – “Entah berapa banyak lagi nyawa orang yang tidak berdosa bakal menjadi mangsa pemandu mabuk?”

“Berapa ramai keluarga mangsa yang hanya akan melopong sahaja tanpa pembelaan sewajar dan setimpal diberikan?” 

Demikian persoalan Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad susulan laporan terbaharu isu kes pemandu mabuk hingga menyebabkan kematian orang awam di jalan raya.

Awal pagi tadi, seorang penghantar makanan dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, dirempuh Nissan Grand Livina yang dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.

Mangsa berusia 44 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Kesal dengan perkara itu, Hazwan berkata, kerajaan yang mempunyai ‘kuasa’ perlu memberi arahan untuk menggantung segera penjualan arak di premis-premis seluruh negara. 

Ini kerana, katanya, tempoh yang diambil bagi meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk mengambil masa yang lama.

“Nak menunggu Dewan Rakyat bersidang, nak cadang usul (tak tahu nombor berapa), nak bahas, nak tunggu Ahli Parlimen punya banyak songeh lagi dalam dewan bergaduh, nak tunggu Anwar jadi PM ke tak atau Mahathir berjaya undi tak percaya.

“Ada orang sinis bertanya dalam ruangan komen, ‘Dah nak buat macam mana sekarang? Nak kena bakar kilang arak ke macam mana?’ 

“Nasib baik ada orang menjawab secara sinis juga ‘Tunggu ahli keluarga kau kena nak tengok mampu tak jari menari atas papan kekunci tulis benda sinis begini’,” kata Hazwan.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu bertindak segera sementara proses pindaan undang-undang sedang dilakukan atau solusi yang lebih holistik diumumkan. 

“Gantung segera penjualan, industri arak perlu dikawal. Bahkan mereka perlu bertanggungjawab terhadap bahana sosial yang disebabkan oleh arak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close