Berita Utama

Lelaki memandu dalam keadaan mabuk didakwa sebabkan kematian

Mengaku tak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa

KUALA LUMPUR, 9 Syawal 1441H, Isnin – Seorang pembantu kedai aksesori kereta yang videonya tular di media sosial apabila merempuh seorang penghantar makanan awal pagi ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Khor Yong Zhang, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Dia didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Almera di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan iaitu 161 mg sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Mohamed Zaili Mohamed, 44, di Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Tun Razak di sini, pada 1.30 pagi tadi.

Dia yang memakai baju-T merah didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000 serta penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kerana mangsa dalam kejadian itu diseret tiga meter dan maut di tempat kejadian.

Tertuduh yang diwakili peguam Khairul Amin Abdullah memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya masih muda dan bukan berasal daripada keluarga yang berada.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes.

Pagi ini media melaporkan pemandu mabuk merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya di Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini, awal pagi tadi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button