Berita Utama

Tiga hakim dipertimbang jawatan Peguam Negara

Ketiga-tiga ada pengalaman kendali kes jenayah dan sivil

BANGI,26 Jamadilawal 1444H, Rabu – Tiga hakim yang sedang berkhidmat dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Peguam Negara baharu oleh Perdana Menteri.

Antaranya Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Ketiga-tiga hakim mempunyai pengalaman mengendalikan kes jenayah dan sivil, selain ketika berkhidmat dalam badan kehakiman dan perundangan.

“Berpengalaman dan berpengetahuan dalam undang-undang jenayah dan sivil penting kerana Peguam Negara adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.

“Peguam Negara juga adalah pendakwa raya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Mohamad Zabidin buat masa ini sedang menjawat jawatan pemangku Hakim Besar Malaya berikutan kekosonganTan Sri Azahar Mohamed, yang bersara dua bulan lalu.

Beliau pernah dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2004, sebelum menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2006, kemudian dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2018 dan diangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.

Yaacob dan Abdul Karim pula merupakan Hakim Kanan di Mahkamah Rayuan, ketika ini.

Yaacob dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2009 dan menjadi Hakim Mahkamah Rayuan setahun selepas itu, kemudian menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2017.

Sementara itu, Abdul Karim adalah Pesuruhjaya Kehakiman sebelum memikul tanggungjawab sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2014 dan Hakim Mahkamah Rayuan pada 2016.

Sebelum ini, Allahyarham Mohtar Abdullah, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Peguam Negara ketika ini, Tan Sri Idrus Harun juga adalah bekas hakim yang dilantik menjawat jawatan itu.

Jawatan Idrus dijadual akan berakhir Mac depan dan difahamkan, beliau sedia melepaskan jawatan itu lebih awal sekiranya Anwar sudah mengenal pasti pengganti bersesuaian.

Mengikut Perkara 123 Perlembagaan, individu itu mesti seorang warga negara dan mempunyai pengalaman 10 tahun berkhidmat sebagai peguam bela mana-mana Mahkamah Tinggi atau mempunyai perkhidmatan kehakiman dan perundangan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri layak dilantik sebagai Peguam Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button