Berita Utama

LTTE: Berkas segera anggota kumpulan pengganas sebelum terlambat

Jangan 'pilih bulu', bersikap adil demi keselamatan negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 9 Syawal 1441H, Isnin – Pihak berkuasa wajar mengambil tindakan awal menahan individu terbabit dengan kumpulan pengganas seperti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang boleh mengancam keselamatan negara tanpa ‘memilih bulu’.

Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Sani Osman berkata, tindakan itu bagi memastikan agenda mereka tidak menular secara meluas sekali gus mendatangkan masalah kepada negara.

“Pihak berkuasa juga perlu bersikap adil. Kita tidak boleh lihat siapa individu berkenaan, asalkan fahaman dan penubuhan itu memberi ancaman kepada negara, maka kita kena ambil tindakan.

“Tidak kira ia kecil atau tidak merbahaya, asalkan ia sebuah kumpulan pengganas… tidak kira kerajaan lama atau baharu, asalkan tidak menyalahi undang-undang kita kena ambil (tindakan). Jika dahulu mungkin tidak tegas, sekarang ini kena tegas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Meskipun berpandangan ketika negara dilanda pandemik COVID-19 bukan waktu yang sesuai untuk membuat siasatan, namun Sani berkata, ia bergantung kepada pihak polis.

“Mereka lebih arif berkenaan perkara ini. Untuk meredakan keadaan ini, biarlah kita menangani dahulu ‘musuh’ yang tidak nampak ini yang boleh memudaratkan negara dan dunia. Jadi biarlah ambil tindakan itu sesuai pada waktunya,” saran beliau.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menggugurkan pertuduhan terhadap 12 individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, dikait dengan LTTE.

Dalam kenyataan 13 muka surat, Tommy memberitahu, keputusan itu diambil selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Jelasnya, perbuatan memiliki gambar atau perkara lain yang dikaitkan dengan individu atau kumpulan pengganas, tidak menukar seseorang itu menjadi pengganas atau menyokong kumpulan terbabit.

Beliau juga menggesa Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula setiap kumpulan pengganas setiap enam bulan mengikut suatu perintah di bawah Seksyen 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana ia masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button