Berita UtamaDunia

Turki, Israel pulihkan hubungan diplomatik sepenuhnya

Ankara tidak berhasrat tinggalkan perjuangan Palestin

ANKARA, 19 Muharram 1444H, Rabu – Turki dan negara haram Israel bersetuju untuk memulihkan hubungan diplomatik sepenuhnya bahkan akan mengembalikan duta ke negara masing-masing.

Keputusan itu dibuat berikutan penambahbaikan secara beransur-ansur dalam hubungan kedua-dua negara itu.

Turki dan Israel masing-masing mengusir duta pada 2018 susulan pembunuhan 60 rakyat Palestin oleh tentera Israel ketika protes di sempadan Gaza menentang pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis.

Pun begitu, lawatan Presiden Israel, Isaac Herzog ke Turki pada Mac lalu, diikuti dengan lawatan kedua-dua menteri luar membantu hubungan mesra selepas lebih 10 tahun ketegangan.

Langkah itu – yang dibuat ketika Israel berusaha memperbaiki hubungan dengan kuasa serantau – dipersetujui dua tahun selepas Perjanjian Abraham – yang menyaksikan hubungan kembali normal antara Israel, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Maghribi.

“Meningkatkan hubungan akan menyumbang kepada mengeratkan hubungan antara kedua-dua rakyat.

“Ia termasuk meluaskan hubungan ekonomi, perdagangan, budaya dan mengukuhkan kestabilan serantau,” kata Pejabat Perdana Menteri Israel pada Rabu selepas perbualan antara Yair Lapid dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu pada sidang akhbar di Ankara berkata, pelantikan duta adalah salah satu langkah untuk menormalkan hubungan.

“Langkah positif seperti itu datang dari Israel hasil daripada usaha ini, dan sebagai Turki, kami juga memutuskan untuk melantik duta ke Israel ke Tel Aviv,” katanya.

Cavusoglu bagaimanapun menegaskan bahawa langkah itu tidak bermakna Turki akan meninggalkan perjuangan Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button