Berita Utama

Memandu mabuk lagi, dua lelaki didenda RM3,000

Mahkamah perintah lesen memandu digantung selama dua tahun

KUALA LUMPUR, 9 Syawal 1441H, Isnin – Akibat tidak serik memandu di bawah pengaruh alkohol, dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas kontraktor Fan Kok Wai, 45, dan penjual mee Chin Wen Hoong, 55, selepas mereka mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 189mg dan 195mg dalam 100ml darah, yang melebihi had yang ditetapkan iaitu 80mg di Lebuhraya Kesas dan Jalan Cheras pada 31 Mei lepas, antara 10.15 malam dan 11.05 malam.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua lelaki tersebut digantung selama dua tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Khazali, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran ke atas tertuduh dengan alasan itu adalah kesalahan kali kedua mereka, manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf dan merayu hukuman denda minimum.

Sementara itu, Puteri Nursheila turun menasihati Fan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

“Ini kesalahan kali kedua. Kamu perlu ambil ini sebagai pengajaran,” katanya.

Mereka membayar denda tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close