Berita Utama

LHDN sasar capai kutipan cukai RM176 bilion tahun ini

Meningkat 21.75 peratus berbanding kutipan pada 2021

CYBERJAYA, 19 Syawal 1444H, Rabu – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan untuk mencapai kutipan cukai RM176 bilion tahun ini bahkan mungkin lebih dari itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi (gambar).

“Pada masa ini kita berada pada tahap yang sangat menggalakkan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pembayar cukai yang telah menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran yang diumumkan dalam Bajet 2023 dan berharap dapat melepasinya jika boleh,” katanya.

Di bawah Bajet 2023, LHDN ditugaskan untuk mengutip RM164 bilion cukai bersih daripada sasaran cukai kasar RM176.1 bilion.

Pada 2022, LHDN membuat kutipan cukai langsung tertinggi sebanyak RM175.4 bilion, meningkat 21.75 peratus berbanding kutipan pada 2021.

Ditanya sama ada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini oleh Bank Negara akan memberi kesan kepada kutipan cukai LHDN, Mohd Nizom berkata: “Ia akan memberi kesan tidak langsung tetapi ia tidak serta-merta.”

Pada 3 Mei, OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus, kenaikan pertama sejak November 2022.

Ini adalah kali pertama tahun ini OPR dinaikkan selepas dikekalkan pada 2.75 peratus oleh Bank Negara pada Januari dan Mac tahun ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button