Berita Utama

PEMBELA lancar kempen #Malaysiabebasarak, harap perhatian PM

Desak hukuman gantung pemandu mabuk sebabkan kematian

BANGI, 9 Syawal 1441H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melancarkan kempen mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghentikan segera industri arak dan menarik balik semua penjualan minuman keras di seluruh negara serta-merta. 

Poster yang sudah mendapat lebih 1,700 perkongsian di media sosial Facebook turut mendesak hukuman gantung terhadap pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian ke atas pengguna jalan raya lain.

Kempen dengan #Malaysiabebasarak itu turut menerima sokongan rata-rata pengguna media sosial yang mahukan kerajaan bertindak segera menyelesaikan isu membabitkan pemandu mabuk. 

Naib Pengerusi PEMBELA, Cikgu Izzat Johari berkata, pihaknya meminta sokongan dan kerjasama semua rakyat Malaysia untuk berkongsi poster kempen berkenaan, sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong. 

“Kami, PEMBELA ingin memohon kekuatan semangat dan kerjasama kita semua untuk share poster ini sebanyak mungkin dalam tempoh 24 jam sehingga mesej poster ini mendapat perhatian YAB Perdana Menteri Malaysia dan kalau ada rezeki sehingga ke YDPA,” katanya. 

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pengguna media sosial mendesak kerajaan mempercepatkan pindaan hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan dan kematian.

Ini susulan beberapa insiden kemalangan maut yang berlaku kebelakangan ini sehingga pernah meragut nyawa seorang petugas barisan hadapan pada awal Mei lalu.

Minggu lalu, seorang kakitangan Alam Flora maut dilanggar seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan berbahaya di Jalan Pintasan Kuantan.

Awal pagi tadi, seorang penghantar makanan dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki dipercayai mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, Kuala Lumpur. 

Dalam insiden berasingan, seorang lelaki retak tempurung kepala kerana dilanggar pemandu mabuk di Jalan Raja Syed Raffi, Bintong, Kangar, Perlis malam tadi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button