Berita Utama

Bahaya pemikiran liberal cuba pengaruh umat Islam agar menyimpang

‘Mufti Facebook’ dan ‘ulama YouTube’ pula dijadikan panduan, sumber hukum

BANGI, 6 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Khutbah Jumaat hari ini mengingatkan mengenai ancaman pemikiran liberal yang cuba mempengaruhi umat Islam sehingga mengheret mereka menolak keputusan fatwa dan menyimpang jauh daripada ajaran Islam sebenar.

Menurut khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), perjuangan pemikiran liberal adalah melanggar ijmak, misalnya hal asas cara penetapan dan penggalian hukum atau dikenali dengan istinbat hukum.

Katanya, golongan liberal tidak mahu mengikut manhaj yang telah digariskan oleh imam-imam terdahulu, justeru mereka berkempen untuk mentafsir al-Quran sebebas-bebasnya.

“Bahkan, kaedah tafsir yang dipegang secara ijmak para ulama juga dibakul sampahkan, dan mereka mengambil penafsiran mengkritik teks yang digunakan dalam memahami kitab Bible.

“Apa nak jadi? Keluarlah pendapat dari mereka seperti antihadis, rambut bukan aurat bagi wanita, zina tidak haram kalau suka sama suka, maka hancurlah agama,” katanya.

Khutbah berkata, modus operandi liberalisme tidak jauh dengan golongan ‘mazhab tidak bermazhab’ iaitu menjatuhkan kredibiliti dan autoriti ulama-ulama Islam terdahulu.

“Bagi Allamazhabiyyah, mereka selalu mengkritik pendapat dan ijtihad ulama mazhab terdahulu dengan slogan ulama tidak maksum boleh salah dan tidak ada dalikl atau hadis atau hadisnya daif lemah.

“Sedangkan puak Islam liberal pula berani memperolok Imam al-Syafie dan ulama-ulama mujtahid lainnya dan menganggap mereka ketinggalan zaman, tidak relevan dan punca taklid buta,” kata khutbah.

Atas sebab itu, Jais bimbang dengan nasib umat Islam khususnya di Selangor sekiranya pendapat ulama diperlekeh dan kitab kuning yang beratus tahun dijadikan sumber hukum menghasilkan fatwa semuanya ditolak.

“Lalu ‘Mufti Facebook’ dan ‘ulama YouTube’ yang dijadikan panduan dan sumber hukum. Apakah kebenaran zaman ini diletakkan pada jumlah likes di dalam FB?

“Atau membiarkan komen netizen penentu kebenaran sesuatu perkara? Akhirnya ilmu tidak lagi di pondok-pondok, sekolah-sekolah, masjid-masjid, universiti-universiti, sebaliknya ilmu dinilai melalui media sosial,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button