Berita Utama

Isu ceroboh tanah, kes Adib beri implikasi besar pada keadilan

PEMBELA terus berjuang pertahankan agenda agama, bangsa dan tanah air

BANGI, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Tahun 2020 menutup tirai dengan dua isu yang membawa implikasi besar dalam konteks keadilan, hak individu dan rakyat secara keseluruhannya, terutama bagi orang Melayu.

Demikian kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya, sebagai merujuk isu pencerobohan tanah milik kerajaan di Raub, Pahang dan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau menyifatkan dua isu berkenaan sebagai ‘peristiwa’ berimpak besar terhadap sistem keadilan negara, yang sepatutnya adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum serta bangsa.

Mengimbau kes pencerobohan di Raub, Haji Aminuddin berkata, walaupun tindakan pekebun haram sudah diputuskan salah oleh mahkamah, tetapi perjuangannya masih panjang memandangkan tiada dakwaan dibuat atas kesalahan itu.

“Isu tanah bukan kecil. Ia bukan ibarat rumah yang boleh dirobohkan dan dibangunkan kembali. Tanah ini tempat kita berpijak, tempat kita hidup dan disemadikan apabila meninggal dunia.

“Sebab itu, kami NGO tidak memandang ini sebagai perkara kecil tetapi isu ini harus diperjuangkan habis-habisan sehingga tanah dapat dikembalikan kepada yang berhak dan mereka yang salah sepatutnya dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2021, hari ini.

Beliau berkata, peristiwa sama turut berlaku dalam mendapatkan keadilan terhadap kes kematian Muhammad Adib yang masih belum berakhir meskipun dua tahun berlalu.

Katanya, walaupun Mahkamah Koroner telah memutuskan bahawa terdapat elemen pembunuhan tetapi masih ada yang mengatakan sebaliknya, kononnya hanya berlaku pelanggaran sahaja.

“Isu ini bukan isu Adib sebagai individu, tetapi sebagai seorang penjawat awam yang terkorban demi tugas dalam mempertahankan keamanan.

“Isu berkenaan keadilan institusi kehakiman, integriti pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Peguam Negara. Ianya isu nasional, lambang keadilan kepada seorang penjawan awam,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan tahun 2021 membuka lembaran baharu dengan kesatuan semua pihak dalam mendepani seribu ujian dan dugaan yang bakal dihadapi.

“Kami NGO akan terus berjuang sekadar kemampuan kami, dan berharap rakyat dapat sama-sama bantu jika tidak secara fizikal atau kewangan, paling tidak dari segi doa.

“Bagi pihak NGO Islam dan kepimpinan lain turut mendoakan kita dapat menghadapi suasana COVID-19 yang semakin meluas dengan sabar dan dilindungi Allah,” katanya.

PEMBELA adalah gabungan NGO-NGO Islam yang telah menggerakkan pelbagai inisiatif ‘check and balance’ dalam negara sejak 2006.

Perjuangan PEMBELA untuk menyokong segala usaha memperjuangkan agenda agama, bangsa dan tanah air ke arah sebuah masyarakat muslim yang beragenda, bermaruah dan berintegriti di dalam sebuah negara Islam yang berdaulat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button