Berita Utama

Pertahankan bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah

Semua pihak perlu berganding bahu menjaga kehormatan, keluhuran

ALOR SETAR, 9 Syawal 1441H, Isnin – Semua pihak perlu berganding bahu menjaga kehormatan dan keluhuran Undang-Undang Syariah berhubung bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama dan hal ehwal undang-undang termasuk Jabatan Peguam Negara perlu segera bergerak bersama mempertahankan keabsahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor khususnya, serta DUN seluruh Malaysia dalam menggubal undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah.

Menurutnya, adalah menjadi proses biasa Perlembagaan bawah klausa hak asasi, bagi mana-mana pihak membawa kes mereka ke mahkamah untuk mendapat pertimbangan hukum.

“Demikian juga dengan permohonan mencabar kuasa DUN Selangor yang meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah memperuntukkan kuasa menghukum pesalah seks luar tabii oleh seorang pesalah Syariah diwakili Peguam Surendra Ananth,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu berkata, membenarkan cabaran dibuat di Mahkamah Persekutuan bukanlah bermakna persetujuan diberikan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai bidang kuasa menggubal dan meluluskan Undang-undang kesalahan Syariah, namun kebenaran mencabar diberikan itu memberi maksud dari segi merit, bahawa kes tersebut memang berhak dicabar.

“Tanpa sedikit pun meragui keilmuan hakim mahkamah tertinggi negara, andai kata hujah pemohon ketika pembentangan kesnya logik dan berasas, tentu sukar untuk Mahkamah tidak membenarkan cabaran pemohon berkenaan,” katanya.

Menurutnya, bayangkan implikasinya jika hujah pencabaran itu berasas dan keputusan mengatakan DUN Selangor tidak mempunyai kuasa meluluskan perkara kesalahan seks di luar tabii kerana kuasa penalti bagi kesalahan berkenaan terletak bawah kuasa federal, maka Mahkamah Syariah Selangor tidak mempunyai kuasa menghukum pesalah sedemikian.

“Jika Mahkamah Syariah Selangor tidak mempunyai kuasa menghukum kerana undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah Selangor tidak sah, berdasarkan prinsip duluan mengikat, semua undang-undang kesalahan Jenayah Syariah yang diluluskan DUN seluruh Malaysia juga batal dan tidak sah,” katanya.

Jamil Khir berkata, sekiranya hal ini berlaku, ia merupakan satu tamparan dahsyat kepada pejuang Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, yang berusaha mempertingkatkan kuasa menghukum oleh Mahkamah Jenayah Syariah.

“Sekali pandang ia kelihatan kes biasa, namun jika dilihat secara mendalam implikasinya, sudah tentu isu ini boleh ‘meremang bulu roma’. Malah boleh menjadi pukulan maut kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kini menjadi kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap isu berkenaan diberikan keutamaan dalam mempertahankan kuasa DUN dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Semoga keutamaan mempertahankan kuasa DUN dan kuasa Mahkamah Syariah mengatasi kekalutan mempertahankan diri dan Covid-19, jangan kita terperangkap dengan isu lain sehingga Mahkamah Syariah terhina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close