Berita Utama

Polis buru 2 lelaki campak guni dadah bernilai RM2.67 juta

Perairan barat Johor dikenal pasti ‘hotspot’ sindiket seludup dadah

JOHOR BAHRU, 9 Syawal 1441H, Isnin – Polis sedang memburu dua lelaki yang dikesan mencampakkan dua guni yang dipercayai mengandungi dadah bernilai kira-kira RM2.67 juta sebelum melarikan diri di sekitar kawasan perairan hutan bakau di Parit Samsu, dekat Muar, awal pagi ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, ia merupakan hasil kejayaan Ops Benteng Laut yang dilaksanakan pada jam 2.10 pagi, yang menyaksikan pihaknya berjaya membuat rampasan dadah terbesar tahun ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati guni pertama mengandungi 24 bungkusan hitam dipercayai dadah jenis syabu seberat kira-kira 24 kilogram, manakala guni kedua mengandungi lapan bungkusan hitam dipercayai pil ecstasy sekitar 14.7 kilogram.

Kedua-dua guni dadah itu dibawa ke pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya ia sindiket yang sama mendalangi satu kegiatan penyeludupan dadah, yang mana kita temui sejumlah dadah di di Parit Jawa pada 20 Mei lepas,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Sanifah berkata, berdasarkan pemantauan Maritim, pihaknya mendapati kawasan perairan barat Johor meliputi tiga daerah iaitu Pontian, Batu Pahat dan Muar dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ sindiket penyeludupan dadah.

Justeru, pihaknya beserta agensi lain seperti Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia menerusi Op Benteng Laut mempertingkatkan operasi dan pemantauan sekitar kawasan perairan barat meliputi pantai barat Johor sepanjang 231 kilometer (dari Sungai Kesang, Muar sehingga ke Tambak Johor). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close