Berita Utama

Polis buru lelaki Rohingya lari dari pusat kuarantin

Suspek miliki fizikal tegap, berat 65 kilogram, berambut hitam pendek

IPOH, 9 Syawal 1441H, Isnin – Polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki Rohingya yang dilaporkan melarikan diri dari pusat kuarantin di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Tanjung Rambutan di sini, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata kehilangan Rohim Mohd Zokoria, 27, disedari petugas KKM ketika membuat pemantauan ke atas orang yang dikuarantin di blok E-2-83 pada kira-kira pukul 11 pagi.

“Petugas kementerian dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah mencarinya di semua tempat di kawasan blok pusat kuarantin itu dan bilik yang dikhaskan untuknya, tetapi dia tidak ditemui,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata Rohim mempunyai fizikal berbadan tegap, dianggarkan berat 65 kilogram, berambut hitam pendek lurus dengan ketinggian sekitar 165 hingga 168 sentimeter.

Suspek dimasukkan ke pusat kuarantin itu pada pukul 5.00 petang Sabtu lepas, selepas ditahan oleh polis daerah Muallim di sekatan jalan raya di Km 388.3 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, dan dimasukkan ke Hospital Slim River kerana mempunyai simpton COVID-19.

“Bagaimanapun, hasil saringan di Hospital Slim River mendapati suspek negatif jangkitan COVID-19, lalu dihantar ke pusat kuarantin itu untuk dikuarantin selama 14 hari,” kata A.Asmadi.

Menurut beliau, tiada butiran lanjut yang disimpan oleh pusat kuarantin itu kerana suspek datang tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya mengisikan nama serta nombor pasport pada borang disediakan.

Hasil siasatan mendapati pusat kuarantin yang menempatkan seramai 57 individu itu masih menunggu laporan ujian ‘swab’ termasuk ke atas Rohim.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close