Berita Utama

JPBN, JPBD diarah selaras tindakan segera aktiviti pascabanjir

Penggemblengan aset kerajaan dengan penglibatan NGO dan sukarelawan perlu beri perhatian

SHAH ALAM, 20 Jamadilawal 1443H, SabtuJawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diarah menyelaras tindakan segera aktiviti pascabanjir di kawasan-kawasan terkesan, menurut Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata, penyelarasan terbabit antaranya melibatkan perbincangan bersama semua agensi Persekutuan berikutan situasi banjir yang mulai surut di beberapa negeri dan daerah yang memerlukan tindakan pascabanjir.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) telah mengeluarkan arahan kepada semua JPBN dan JPBD untuk berbuat demikian. 

“Penggemblengan aset kerajaan dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan juga perlu memberi perhatian kepada pentaksiran keperluan pascabencana mangsa yang terlibat,” katanya dalam sidang media harian Ops Murni di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan pascabanjir lain meliputi bantuan pembersihan kediaman dan tempat-tempat awam, aktiviti pembersihan sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) serta tindakan pemulihan perkhidmatan asas.

Sementara itu, Aminuddin berkata, JPBN Johor, Sabah dan Sarawak telah diarah supaya berwaspada berikutan amaran hujan lebat berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia serta mengambil tindakan awal dengan membuka Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) hari ini. 

“Agensi-agensi responder juga perlu untuk bersiap siaga bagi sebarang operasi termasuk dari segi pembukaan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), PPS dan penyelarasan bantuan daripada NGO,” katanya. 

Beliau berkata, setiap PKOB negeri juga telah diarah mengemukakan laporan bagi kawasan-kawasan masih mengalami banjir dan telah surut selain perlu memaklumkan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi sebarang keperluan menyediakan pam untuk operasi mengeluarkan air di kawasan banjir genang. 

“Pihak NADMA telah dan sedang menyelaras bantuan logistik yang diperlukan antaranya membawa unit pam JPS dari Ipoh ke Taman Sri Muda dan Mentakab.

“PKOB Pusat turut dimaklumkan PKOB Terengganu bahawa negeri berkenaan telah memasuki fasa pascabanjir sepenuhnya pada 21 Dis lepas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menghadapi kemungkinan banjir di Pahang berikutan ramalan luruan monsun bermula 27 Dis ini, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan menghantar pasukan bagi membantu kesiapsiagaan negeri itu. 

Aminuddin dalam masa sama mengingatkan, semua yang berada di lapangan supaya mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan COVID-19.

“Bagi mereka yang terkesan dengan bencana banjir, selain daripada talian Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) 03-8064 2400, mereka juga boleh menghubungi talian MyGCC 03-80008000 sebagai alternatif talian informasi bencana. Maklumat terkini bencana juga turut dikongsi menerusi media sosial,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button