Pendapat

Sebelum pemanduan mabuk menjadi ‘New Normal’…

Pihak pertahan 'hak asasi' minum arak tentu tak peduli hak orang lain

KES pemanduan mabuk yang berakhir dengan beberapa kematian sejak akhir-akhir ini boleh bertukar menjadi isu perkauman yang sangat sukar dikawal sekiranya pihak kerajaan tidak mengambil tindakan susulan yang berkesan.

Kematian Muhammad Adib pun belum ada pendakwaan terhadap sesiapa.

Pemanduan mabuk yang menyebabkan kematian hanya sekadar pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Perbezaan etnik/bangsa si pemandu dan mangsa tidak dapat diabaikan begitu saja.

Tidak ada siapa yang ingin melihat tercetusnya insiden-insiden yang akan meruntuhkan keharmonian di antara kaum berulang lagi.

Tidak ada sesiapa pun yang ingin membaca berita-berita kematian akibat pemanduan mabuk berlaku setiap minggu.

Kumpulan dan pihak-pihak yang mempertahankan ‘hak asasi’ untuk minum arak/alkohol tanpa campur tangan negara atau bantahan rakyat tentu tidak akan mempedulikan hak orang lain untuk menggunakan jalanraya tanpa kehilangan nyawa akibat pemanduan mabuk.

Seberat mana sekalipun pindaan undang-undang untuk menghukum pemandu-pemandu mabuk ini, yang telah mati tidak akan hidup kembali.

Lagi lama dan lambat isu ini diselesaikan, kita akan melihat angka-angka kematian baru yang semakin meningkat.

Individu-individu yang bergejala bukan sukar untuk dikenal pasti sebagai pembawa dan penyebabnya.

Itulah Kluster Pemandu-Pemandu Mabuk.

Yang hairannya, kluster ini mempunyai ramai penyokong dari kumpulan-kumpulan hak asasi dan aktivis-aktivis kebebasan individu serta puak liberal di satu pihak.

Kononnya pemandu-pemandu berkenaan perlu difahami, diberi kaunseling, menjalani terapi dan tidak boleh dipandang serong. 1001 alasan, helah dan dalih akan dikemukakan dalam usaha pembelaan ini.

Manakala di pihak lain pula, kumpulan dan gerakan-gerakan sivil serta hak asasi lain (termasuk parti-parti politik), yang sebelum ini cukup lantang membantah dan mempertikaikan cadangan untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, tiba-tiba menjadi bisu, pekak, buta dan tuli dalam isu pemanduan mabuk ini.

Syaitan manakah yang menjadi rujukan mereka?

Rakyat sudah tertekan dan semakin bimbang dengan ancaman pandemik COVID-19.

Rakyat sudah muak dengan perangai bodoh dan keanak-anakan para pemburu kuasa yang saling bergaduh dan berebut ‘barang permainan’ yang akan lusuh dan jahanam juga akhirnya.

Rakyat berdebar-debar mengharungi ketidakpastian mata pencarian dan masa depan yang tidak menentu setiap hari.

Kini, masyarakat diancam dengan fenomena pemanduan mabuk yang seolah-olah sudah berperanan sebagai ‘pencabut nyawa’.

Di manakah noktah akhirnya?

Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)
Mohd Luttfi Abd Khalid

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close