Berita Utama

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 Pindaan 2018 dikuat kuasa hari ini

Kerajaan benar tangguh 2 tahun organisasi komersial lakukan persediaan

BANGI, 9 Syawal 1441H, Isnin – Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial mula berkuat kuasa hari ini, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata, tarikh penguatkuasaan telah dikeluarkan melalui kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan P.U (B) 247 bertarikh 27 Mei lalu.

Katanya, Parlimen telah meluluskan pindaan akta berkenaan pada 5 April 2018 dan diwartakan pada 4 Mei 2020. 

“Kerajaan turut membenarkan penangguhan tempoh dua tahun diberikan kepada organisasi komersial mulai tarikh tersebut bagi melakukan persediaan sewajarnya sebelum peruntukan undang-undang baharu berkenaan dikuat kuasa sepenuhnya. 

“Peruntukan undang-undang yang juga dikenali sebagai liabiliti korporat ini ialah untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan dengan integriti tanpa rasuah dan mempromosi amalan tadbir urus baik dalam organisasi dan bukan bertujuan untuk menghukum organisasi komersial semata-mata,” katanya. 

SPRM berkata, menerusi Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018), organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah. 

Suruhanjaya itu berkata, organisasi komersial boleh disifatkan bersalah dalam keadaan sama ada pihak pengurusan atasannya atau wakilnya tahu mengenai kelakuan rasuah yang dilakukan pekerja atau pihak bersekutu.

“Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan, hukuman di bawah Seksyen 17A (2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Bagaimanapun, organisasi komersial boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa organisasi tersebut mempunyai ‘tatacara mencukupi’ yang telah dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah dalam operasi atau aktiviti perniagaan mereka,” katanya. 

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin  mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peruntukan undang-undang baharu ini boleh melayari portal rasmi SPRM di http://www.sprm.gov.my/ manakala bagi mendapatkan garis panduan tatacara mencukupi pula, boleh melayari pautan http://giacc.jpm.gov.my/garis-panduan-tatacara/, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button