Berita Utama

Sindiket dadah didalangi pengawal bernilai RM398,500 tumpas

Lumpuh selepas menahan 6 lelaki tempatan menerusi 5 serbuan

KEPALA BATAS, 9 Syawal 1441H, Isnin – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah selepas menahan enam lelaki tempatan menerusi lima serbuan di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) pada Sabtu dan semalam.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bersama Bahagian Narkotik SPU dan SPT selepas intipan selama dua minggu itu, polis turut merampas 39,892 biji pil yaba bernilai RM398,500 daripada suspek.

“Dua suspek pertama berusia 25 dan 41 tahun ditahan pada 6 petang Sabtu di Permatang Sungai Dua di sini dan polis menyita 142 biji pil yaba daripada mereka sebelum menahan seorang lagi lelaki berumur 40 tahun di Jalan Sungai Dua bersama 350 biji pil.

“Susulan itu, polis menahan suspek keempat, pengawal keselamatan berusia 58 tahun, pada 10 malam hari sama di kawasan Perai Jaya, Butterworth dan merampas 400 biji pil yaba bersamanya,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata ekoran penahanan empat lelaki itu, polis menyerbu sebuah pusat beli-belah di Perai Jaya pada 11 malam Sabtu dan menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang juga pengawal keselamatan di situ, sebelum merampas 39,000 biji pil yaba yang disembunyikan di atas siling premis tersebut.

Noorzainy berkata polis kemudiannya menyerbu sebuah flat di Perai Jaya pada 1 pagi semalam dan menahan seorang lagi lelaki berusia 45 tahun yang juga ketua pengawal keselamatan pusat beli-belah itu dan dalang utama sindiket yang aktif sejak enam bulan lepas.

“Siasatan awal polis mendapati mereka mendapatkan bekalan daripada sindiket lain sebelum menyimpan pil yaba berkenaan di siling pusat beli-belah tersebut yang juga lokasi penjualan selain turut mengedar di pusat hiburan di sekitar negeri ini,” katanya.

Polis kini menjejaki beberapa lagi ahli sindiket dan kesemua enam suspek yang mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit dadah dan jenayah itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata kesemua yang ditahan itu turut positif dadah dan pil yaba yang dirampas cukup untuk kegunaan 39,900 penagih.

Sementara itu, Noorzainy berkata polis sedang mengesan dua lelaki dikenali sebagai A. Selvarajoo, 56, dan T. Vijayakumar, 57, masing-masing beralamat terakhir di Jalan Berlian Satu, Bagan Ajam dekat sini kerana perlu hadir sebagai saksi di Mahkamah Tinggi George Town berhubung kes pengedaran dadah.

“Kami memohon kerjasama orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mereka supaya dapat menghubungi Insp Muhamad Izwan Alias di talian 04-55762222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close