Dunia

UAE gesa Israel henti rancangan rampas Tebing Barat

Rancangan Tel Aviv hanya bantutkan proses perdamaian Timur Tengah

ABU DHABI, 9 Syawal 1441H, Isnin – Sebarang tindakan dari pihak Israel untuk merampas kawasan Tebing Barat yang diduduki, hanya akan membantutkan proses perdamaian Timur Tengah, kata Menteri Luar Negeri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash. 

Justeru, beliau menggesa supaya rancangan rejim pengganas Israel untuk merampas tanah Palestin dihentikan serta-merta. 

“Sebarang langkah Israel yang bersifat sebelah pihak akan membantutkan proses perdamaian, sekali gus melemahkan penentu nasib Palestin dan mendorong bantahan antarabangsa serta negara Arab,” katanya di Twitter, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa perbincangan Kabinet mengenai rancangannya untuk memperluas kedaulatan Israel ke wilayah Palestin akan bermula pada 1 Julai. 

UAE adalah antara negara-negara Teluk yang bersekutu dengan Amerika Syarikat (AS) – dan lebih mengutamakan hubungan erat dengan negara itu – yang dianggap penting untuk melawan pengaruh Iran. 

Sebahagian negara-negara Teluk menyokong rancangan yang diusulkan Presiden AS, Donald Trump yang kononnya dikenali sebagai ‘Pelan Damai Timur Tengah’ pada Januari lalu – yang dilihat bersifat berat sebelah terhadap Israel. 

Terdapat beberapa bukti sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengenai hubungan yang semakin rapat antara Israel dan UAE. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button