Berita Utama

Wajar beku lesen baharu penjualan arak

Lesen premis PBT juga perlu diperketatkan, kata Annuar Musa

BANGI, 9 Syawal 1441H, Isnin – Pengeluaran lesen baharu menjual arak wajar dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan berkaitan kes pemandu mabuk dapat dilakukan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Merujuk beberapa insiden kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk kebelakangan ini, Annuar menyarankan supaya lesen premis pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diperketatkan.

“Dengan berlakunya kejadian pemandu mabuk dan menyebabkan kemalangan, adalah wajar pengeluaran lesen baru menjual arak dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

“Lesen premis PBT perlu diperketatkan,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter beliau, hari ini. 

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pengguna media sosial mendesak kerajaan mempercepatkan pindaan hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan dan kematian.

Ini susulan beberapa insiden kemalangan maut yang berlaku kebelakangan ini sehingga pernah meragut nyawa seorang petugas barisan hadapan pada awal Mei lalu.

Minggu lalu, seorang kakitangan Alam Flora maut dilanggar seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan berbahaya di Jalan Pintasan Kuantan.

Awal pagi tadi, seorang penghantar makanan dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki dipercayai mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, Kuala Lumpur. 

Dalam insiden berasingan, seorang lelaki retak tempurung kepala kerana dilanggar pemandu mabuk di Jalan Raja Syed Raffi, Bintong, Kangar, Perlis malam tadi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close