Berita Utama

BERJASA kaji dasar, polisi mansuh sekolah vernakular

Perpaduan takkan tercapai bila anak watan dididik secara berasingan

BANGI, 8 Muharram 1442H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) sedang mengkaji dasar dan polisi berkaitan pemansuhan sekolah vernakular.

Naib Presidennya, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, kajian tersebut termasuk pemerkasaan sekolah kebangsaan serta jalan penyelesaian bagi implikasi yang dijangka timbul.

“… agar apabila tiba masanya, BERJASA bersedia untuk melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ustaz Mohd Hazizi menegaskan, pendirian BERJASA berhubung isu ini selari dengan asas hikmah dalam menyusun urutan prioriti pemerintahan negara. 

“Maslahat negara tidak harus sekali-kali digadaikan demi memenuhi maslahat kaum, kumpulan, parti atau individu tertentu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular.

Halimah berkata, usaha memupuk perpaduan negara dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Membidas kenyataan itu, Ustaz Mohd Hazizi berkata, perpaduan nasional sama sekali tidak akan tercapai dalam keadaan anak-anak watan dididik dalam aliran yang tidak mendukung aspirasi identiti negara menurut Perlembagaan Persekutuan. 

“BERJASA tegas berpendirian bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri hubungan etnik ke arah integrasi dan perpaduan nasional, serta menamatkan fenomena cauvinisme.

“Justeru, sekolah vernakular perlu dimansuhkan demi kemaslahatan negara. 

“Isu ini sepatutnya tidak dijadikan bahan kempen politik seperti yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO 2014, yang jelas sekadar mempermainkan sentimen orang Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button